assalamualaikum

Sunday, December 1, 2013

Hiduplah untuk memberi

Perjalanan hidup ini kadang-kadang membuatkan kita lelah dengan dugaan dan cabaran. Namun manusia ini fitrahnya suka akan cabaran. Harus ditempuhi dan dihadam semua liku-liku hidup ini dengan YAKIN. Tanpa keyakinan " nasi yang ingin disuap ke mulut pun boleh terjatuh". Saya bersyukur dengan apa yang Allah s.w.t temukan dalam hidup saya. Hujan pasti akan berhenti, Malam pasti akan siang, Hidup pasti akan menemukan kita dengan kebahagian, andai itulah yang kita usahakan dan inginkan. Saya dikelilingi dengan mereka-mereka yang sangat positif. Mereka saya sifatkan seperti pokok yang merimbun dan memberikan buah yang ranum. Jasa, dorongan, keinginan untuk terus bersama saya amat saya hargai. Tiada nilainya dengan wang ringgit atau apa jua di dunia ini. Saya mendapat inspirasi daripada insan-insan yang dikirimkan Tuhan dalam cara yang tidak saya sangka. "HIDUPLAH UNTUK MEMBERI", apakah matlamat kehidupan kita ini, atau kita hanya hidup kerana kita masih bernyawa, atau kita hidup untuk berbuat kebaikan kepada sesiapa jua yang kita temui. Manusia itu fitrahnya suci namun dikirimkan Iblis laknattuallah sebagai dugaan yang sentiasa menggoda kita ke arah kesesatan. Kita ada peranan, peranan itu adalah amanah. Sebagai pekerja kita mempunyai amanah kepada organisasi, sebagai anak kita mempunyai amanah kepada kedua ibu dan bapa. Itu semua landasan yang kita semua maklum. Namun mengapa ada yang bersifat dengki, iri hati dan suka menjatuhkan orang lain. Mereka seperti ini berada dalam ruang lingkup yang negatif. Mengapa saya berkata demikian. Kajian menunjukkan apabila kita sentiasa didedar dan dihadapkan dengan pekara negatif dan sikap negatif, ia seperti virus yang lama-kelamaan akan menjangkiti kita. Setiap hari tegurlah diri kita untuk sentiasa menginginkan perubahan ke arah kebaikan. KALAU kita yakin hidup kita akan mencapai usia sehingga 1000 tahun sekalipun akhirnya kita semua akan kembali kepada pencipta dan membawa amal baik atau buruk kita. Kekurangan manusia adalah mereka tidak YAKIN, dengan firman-firman Allah tentang dosa pahala, syurga mahupun neraka. Kita masing-masing tidak lagi menempuhinya. Kalau kita benar-benar yakin, kita juga gentar untuk melakukan dosa. Semoga sedikit pencerahan dan pengalaman ini membuahkan kebaikan kepada kita semua. Berjanjilah untuk menyediakan diri kita sebagai insan yang positif dan HIDUPLAH UNTUK MEMBERI. Biar tiada balasan di dunia ini, moga-moga memberi laluan untuk kita ke Syurga Allah s.w.t.

Wallahualam